Friday, August 26, 2011

Muhasabah sebentar..


Assalamualaikum.

Dah dapatkah kita?

Satu persoalan yang bermain difikiran kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Adakah kita dah dapat jumpa malam lailatul Qadr?
Mungkin ya, mungkin tidak. Mungkin kita dapat rasakan, mungkin kita tak rasa langsung kehadirannya.
Mungkin malam tadi, mungkin hari ini, mungkin semalam atau mungkin malam-malam sebelumnya. Sapa tahu, malah tiada siapa pun tahu bila.
Walaupun kita sering terbaca ramalan-ramalan dari orang terdahulu dari kita, tapi hakikatnya, Rasulullah s.a.w tetap tidak menyatakan secara terus bila melainkan dengan menyatakan ia berada di 10 malam terakhir dan mungkin berada dimalam ganjil.

Pernahkah kita muhasabah diri kita kenapa Rasulullah s.a.w tidak menyatakan dengan tepat malam Lailatul Qadr?
Sebenarnya Rasulullah s.a.w tidak mahu umatnya hanya mengejar Lailatul Qadr saja tapi sebaliknya kita haruslah memahami dan menghayati konsep Ramadhan itu keseluruhan.

Pernahkah kita muhasabah diri kita adakah puasa kita di bulan ramadhan ini masih sama macam tahun lepas atau bertambah baik lagi dari tahun lepas?
Jika tahun lepas kita berpuasa bertampal-tampal, adakah tahun ini kita dapat berpuasa penuh? (terutama untuk lelaki)
Jika tahun lepas kita berpuasa hanya tahan lapar dan dahaga, adakah tahun ini kita bukan setakat tahan lapar dan dahaga. Malah puasa mata, telinga, mulut dan hati kita?
adakah peningkatan lebih baik dari tahun lepas?
Jika tahun lepas kita berpuasa tapi masih mendedahkan aurat, adakah tahun ini kita sudah berubah kepada menutup aurat?

Adakah kita rasa Ramadhan itu biasa sahaja dan tiada makna apa-apa pada kita, bahkan ketibaan 1 syawal lebih bermakna pada kita sebab 1 syawal adalah hari kita dapat berjumpa keluarga dan saudara-mara?
Jika Ya jawapannya, maka puasa kita hanyalah setakat menahan lapar dan dahaga sahaja. Tiada ganjaran diberikan oleh Allah s.w.t. jika puasa Ramadhan kita masih ditakuk lama.

Umumnya kita tahu, dikiri dan kanan kita ada 2 malaikat yang bertugas mencatit segala perbuatan baik dan buruk tanpa mengenal penat lelah malah tidak sekali pun mereka mengeluh penat pada Allah s.w.t. dalam menjalankan tugas mereka.
Agak-agaknya pernahkah kita tanya diri kita malaikat yang manakah yang banyak mencatitkan perbuatan kita?

Cuba sebelum tidur kita muhasabah diri kita. Ambil sekeping kertas putih yang belum bertulis apa-apa dan lipat ia kepada 2 bahagian.
Kemudian buka semula. Tulis disebelah kanan “amalan baik” dan disebelah kiri “amalan buruk”.

Mula mencatit setiap perbuatan baik dan buruk kita bermula dari bangun tidur hinggalah malam sebelum anda nak masuk tidur.
Dari sekecil-kecil perbuatan hinggalah sebesar-besar perbuatan.
Setelah selesai, bandingkan antara kedua-dua bahagian yang mana lebih banyak.
Adakah baik lebih banyak dari buruk, atau buruk lebih banyak dari baik.
Dari sini barulah kita dapat muhasabah diri kita banyaknya dosa atau pahala yang kita dah buat dalam seharian.
Bagaimana dengan semalam, kelmarin, minggu lepas, bulan lepas malah tahun lepas?
Itulah tugas Raqib dan ‘atid.

Ingatlah, ramadhan sudah hampir kepenghujungnya. Adakah kita sempat menghabiskannya pada tahun ini?
Bagaimana jika Allah s.w.t. menjemput kita dihari terakhir kita berpuasa? Mungkin kita tak sempat menghabiskannya pun dan kita telah dipanggil.
Bersyukurlah kita jika diizinkan Allah s.w.t meraikan kemenangan selepas ramadhan.

Tapi masih adakah Ramadhan tahun depan untuk kita? Atau inikah Ramadhan terakhir untuk kita?

Ingatlah, selagi Allah s.w.t izinkan kita hidup dibuminya ini, ambillah kesempatan yang tinggal beberapa hari saja lagi ini untuk mengejar keberkatan dan pahala dibulan Ramadhan ini.
Anggaplah ia seperti Ramadhan terakhir buat kita sedangkan Ramadhan tahun depan belum pasti kita dizinkan untuk bertemu dengannya.


Wauwahualam.

No comments:

Post a Comment